Selasa, 27 Julai 2010

Berita Julai

Demam Peperiksaan Semakin Terasa

Julai sudah sampai ke penghujung. Pada 9 Ogos akan berlangsung Peperiksaan Percubaan PMR sementara Pep. Percubaan SPM akan bermula pada 16 Ogos 2010. Kepada semua warga SMKBBS, selamat menduduki peperiksaan.

Read more...

Rabu, 6 Januari 2010

Dari Meja Pengetua



Pengetua
En Abdul Halim b Md Yunus

Sama ada suka atau tidak, kita telah mula memasuki bulan Ogos. Dua peperiksaan percubaan berlangsung pada bulan ini. Peperiksaan ini bukan sahaja menterjemahkan setakat mana murid memahami apa yang diajar oleh guru tetapi menyerlahkan kepada kita setakat manakah sasaran yang kita sasarkan menepati matlamatnya. Selamat menduduki peperiksaan kepada semua calon. Gunakan sebaik mungkin masa yang ada untuk memperbaiki kelemahan diri.

Read more...

Selasa, 16 Jun 2009

Sejarah Sekolah SMKBBS

Sekolah Menengah Kebangsaan (F) Bandar Baru Serting (SMKBBS) terletak dalam daerah Jempol. Bahau ialah bandar yang terhampir dengan jaraknya kira-kira 12km. Sekolah ini dibuka pada 1hb. Disember 1989. Pada peringkat awalnya, sekolah ini telah menumpang di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Serting yang terletak bersebelahan dengan lokasi sekolah sebenar sekarang. Bilangan guru ketika itu hanyalah seramai 13 orang. Manakala jumlah pelajar tingkatan 1 pada tahun pertama persekolahan ialah seramai 193 orang yang diagih-agihkan kepada enam kelas. Sesi persekolahan dijalankan pada sebelah petang.
Pada 1hb. Jun 1990, SMKBBS telah berpindah ke lokasi sekolah sebenar yang terletak di dalam kawasan pembangunan FELDA dengan keluasan kira-kira 16 ekar persegi. Pada awalnya, sekolah hanya mempunyai 3 buah bangunan setinggi 2 tingkat. Dengan pertambahan bilangan pelajar, mulai tahun 1992 SMKBBS telah mengadakan dua sesi persekolahan iaitu pagi dan petang. Sesuai dengan peningkatan jumlah pelajar, infrastruktur sekolah juga telah bertambah dengan terbinanya 3 buah bangunan baru iaitu sebuah bangunan setinggi 3 tingkat dan 2 buah bangunan setinggi 2 tingkat pada pertengahan tahun 1994. Berdasarkan perkembangan fizikal dan pertambahan bilangan pelajar yang pesat, pada 1hb. Mac 1994 SMKBBS telah dinaikkan taraf menjadi sekolah gred A.
Tahun 1999 merupakan tahun yang amat bermakna dalam sejarah SMKBBS. SMKBBS telah terpilih di antara 90 buah sekolah untuk perlaksanaan Projek Rintis Sekolah Bestari. Sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah felda dalam negara yang diberi kepercayaan untuk melaksanakan projek ini. Pelbagai program telah disusun oleh pihak pentadbiran sekolah sama ada melibatkan guru-guru atau pun para pelajar untuk memastikan kejayaan pelaksanaan Projek Rintis Sekolah Bestari. Tanggal 13 Ogos 1999 merupakan detik bersejarah bagi SMKBBS kerana pada tarikh tersebut, sekolah telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 iaitu, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir b. Mohammad.
Bermula sesi persekolahan 2003 sekolah dengan rasminya menjadi Sekolah Bestari setelah tamatnya projek rintis di penghujung tahun 2002. SMKBBS juga diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjalankan Mata Pelajaran Vokasional (MPV) iaitu mata pelajaran Katering dan Penyajian Makanan serta Landskap dan Nurseri. Disamping itu sekolah juga tidak terkecuali dengan perubahan kaedah pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (ETeMS) yang melibatkan semua sekolah di Malaysia.
Sekolah satu sesi kembali dilaksanakan pada tahun 2004 disebabkan penurunan bilangan pelajar. SMKBBS telah diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk terlibat dalam projek rintis Strengthening ICTs in Schools and SchoolNet Project in ASEAN Settings. Projek tersebut melibatkan 8 buah negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Kambodia, Myanmar dan Laos. Melalui projek ini 3 buah sekolah mewakili setiap negara bermula dari tahun 2004 sehingga 2005. Disamping itu sekolah juga dicalonkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan kategori luar bandar tahun 2004. Maka pelbagai usaha dijalankan oleh warga sekolah bagi memastikan kejayaan kedua-dua program tersebut.

Read more...